Oleh : Nooratini Haji Abas / Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohd. Sahrizal Haji Said, Muhammad Asri Awang Haji Abas
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 15 Jun. – Menteri-Menteri Penyelaras hendaklah memastikan bahawa kementerian-kementerian di bawah penyelarasan masing-masing mempunyai pelan pelaksanaan yang mantap, memahami tanggungjawab yang dipikul dan bergerak secara selaras ke arah mencapai hasil yang ditetapkan.
Mereka juga bertanggungjawab memantau kemajuan pelaksanaan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang telah diperkenankan, mengenal pasti cabaran atau kelemahan yang timbul serta memastikan tindakan pembetulan diambil dengan segera apabila diperlukan.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menekankan perkara tersebut pada Rang Titah Penutup baginda sempena Persidangan Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri Kabinet Ke-92 yang berlangsung di Istana Nurul Iman.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam seterusnya bertitah, pada masa yang sama, setiap 'blueprint', strategi dan perancangan yang telah digariskan hendaklah sentiasa diteliti dan dikaji semula agar kekal relevan dengan perubahan keadaan dan cabaran semasa.
Dunia titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia lagi, bergerak dengan pantas dan landskap global sentiasa berubah. Oleh itu, kerajaan hendaklah sentiasa bersedia untuk menyesuaikan pendekatan dan keutamaan yang diperlukan supaya lebih responsif, efektif dan mampu memberikan impak yang nyata kepada rakyat.
“Dalam konteks yang lebih luas, beta juga ingin menekankan bahawa aspek keselamatan negara tidak hanya tertumpu kepada aspek ketenteraan dan pertahanan semata-mata, tetapi turut merangkumi aspek sosial dan ekonomi yang saling berkait rapat antara satu sama lain.
“Dalam hubungan ini, beberapa perkara asas perlu sentiasa diberikan perhatian termasuk kestabilan politik (political stability), keselamatan ekonomi (economic security), keselamatan tenaga (energy security) dan keselamatan makanan (food security).
“Kesemua elemen ini merupakan tunjang kepada kestabilan, kemakmuran dan daya tahan negara, dan hendaklah sentiasa dipastikan berada pada tahap yang kukuh dan terjamin," titah baginda lagi.
Dalam titah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia menegaskan dari aspek sosial pula, baginda memberi perhatian khusus kepada isu pengangguran yang perlu ditangani secara lebih berkesan. Usaha mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan hendaklah terus dipergiatkan di samping mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing secara berperingkat.
Dalam hal ini titah Kebawah DYMM lagi, kerajaan hendaklah terus bekerjasama rapat dengan sektor ekonomi dan industri bagi memastikan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti dapat diwujudkan untuk rakyat tempatan.
“Beta juga berpandangan bahawa syarikat-syarikat berkaitan kerajaan atau Government-Linked Companies (GLC) perlu terus diperkukuhkan peranannya sebagai antara pemacu utama peluang pekerjaan dalam negara.
“Beta berharap agar GLC akan mampu berkembang menjadi antara penyumbang peluang pekerjaan dalam negara selepas sektor minyak dan gas, sekali gus menyumbang kepada pembangunan modal insan dan pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan," titah baginda.
Kebawah DYMM seterusnya bertitah, dari segi pertumbuhan ekonomi pula, tumpuan hendaklah diberikan kepada pengukuhan sektor kewangan serta untuk menarik pelaburan asing secara berterusan.
Dalam hubungan ini, baginda menekankan kepentingan kerjasama yang lebih rapat dengan Kementerian Pembangunan dalam usaha menarik Foreign Direct Investment (FDI), termasuk melalui penyediaan tanah, infrastruktur dan kemudahan-kemudahan sokongan yang diperlukan bagi memudahkan pelabur untuk beroperasi dan berkembang di negara ini.
Kebawah DYMM dalam titah berharap agar segala perkara yang telah dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan akan diterjemahkan kepada tindakan susulan yang berkesan, dengan semangat kerjasama, akauntabiliti dan rasa tanggungjawab yang tinggi.
“Kejayaan kita tidak akan diukur melalui perancangan semata-mata, tetapi melalui hasil yang dapat dirasai oleh rakyat dan impak yang dapat dilihat pada pembangunan negara.
“Semoga Allah Subhanahu Wata'ala terus membimbing dan memberkati segala usaha kita, mengurniakan kekuatan dan hikmah dalam melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan, serta mengurniakan kejayaan yang membawa manfaat besar kepada negara dan rakyat yang beta kasihi sekalian," titah baginda.